Saturday, 9 September 2017

Bajet 2018 - Kerajaan beri perhatian kos sara hidup





KUALA LUMPUR, 8 Sept (Bernama) -- Kerajaan akan memberi lebih perhatian kepada isu kos sara hidup dan perumahan dalam Bajet 2018 dalam usaha menambah baik taraf hidup dan kesejahteraan rakyat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Selain itu, katanya, kerajaan juga akan mengambil kira angka makro yang menggalakkan di samping memberi tumpuan kepada ekonomi rakyat.
"Kita juga bincang tentang kedudukan ekonomi negara kita dengan mengambil kira beberapa angka makro yang lebih menggalakkan termasuk kadar pertumbuhan suku kedua tahun ini yang mencecah 5.8 peratus.
"Rizab antarabangsa kita mencecah jumlah yang terbesar dalam sejarah kita... dan juga sehari dua ini kita lihat pengukuhan ringgit yang semakin jelas,"katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional di Menara Dato' Onn, di sini, hari ini.
Ringgit ditutup pada paras tertinggi dalam tempoh 10 bulan semalam (Khamis) pada 4.2080/2110 berbanding dolar AS manakala data ekonomi domestik mencatatkan angka yang kondusif dan menggalakkan.
Rizab antarabangsa Malaysia juga meningkat kepada US$100.5 bilion (RM431.7 bilion) pada 30 Ogos, 2017, berbanding AS$100.4 bilion (RM431.0 bilion) pada 15 Ogos 2017.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata pengukuhan ringgit serta pertumbuhan ekonomi menunjukkan dasar negara berada di landasan yang betul yang memberi impak dan momentum lebih positif kepada ekonomi negara.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment